”  bukanlah tugasan yang mudah untuk jurufoto media”

Djohan Shahrin Shah- Jurufoto Utusan  Melayu (M) Berhad

TERBITAN MINGGUAN MALAYSIA 12 FEBRUARI 2017

Penulis berada di lapangan ketika membuat liputan banjir pada musim tengkujuh di Terengganu baru-baru ini bukanlah tugasan yang mudah untuk jurufoto media terutamanya. Ini kerana tuntutan kerja pada masa itu tidak hanya sekadar membidik foto, sebaliknya perlu mencari momen bermakna di luar jangkaan.Ia penting bagi memecahkan stereotaip gambar-gambar aktiviti menyelamat mangsa banjir oleh agensi terlibat sebagaimana yang lazim dilihat di setiap kawasan daerah dan negeri sekaligus menghasilkan kelainan bagi menarik perhatian pembaca akhbar.
Oleh yang demikian, jurufoto perlu sentiasa peka terhadap suasana atau situasi tempat tugasan pada masa itu. Selain itu dapat menyelami setiap sudut persekitaran kawasan yang ditenggelami air bagi menzahirkan keseluruhan gambaran kawasan yang terlibat bencana.Cabaran mengambil gambar di atas bot atau sampan memerlukan imbangan badan yang sempurna untuk berdiri dan menahan nafas ketika bidikan supaya hasil yang dirakam itu tidak bergoyang (shaking) . Situasi sama jika penulis berada di atas kenderaan berat yang bergerak seperti jentera trak.
Antara contoh momen bermakna dan di luar kebiasaan yang sempat penulis rakamkan sepanjang membuat liputan di beberapa daerah terjejas bah di Terengganu adalah aksi seorang wanita menjemput anak jirannya pulang dari sekolah pulang dengan menaiki sampan, penduduk kampung menyelamatkan haiwan ternakan, wajah sayu seorang ibu yang duduk di tangga rumahnya di sisi anak istimewa, keriangan sekumpulan kanak-kanak bermain bola di dalam air banjir, mangsa banjir menaiki jentolak untuk pulang ke rumah selepas bekerja, dan aksi santai beberapa penduduk kampung minum petang di kedai makan yang dinaiki air.
Namun momen bermakna itu tidak terhad kepada kawasan yang dinaiki air semata-mata kerana definasi banjir adalah meluas. Berdasarkan pengalaman penulis bencana banjir turut menyebabkan hakisan di beberapa kawasan pantai. Meredah banjir menuntut tahap kesabaran tinggi kerana kita sama sekali tidak mengetahui apakah laluan yang digunakan itu selamat selain terpaksa menumpang kenderaan penduduk kampung untuk ke satu- satu destinasi. Insiden-insiden cemas kenderaan yang dinaiki terkandas di dalam takungan air banjir serta risiko ancaman haiwan berbisa seperti ular ataupun lipan.
Bagaimanapun apa yang lebih mustahak adalah setiap jurufoto perlu merancang peralatan yang sesuai untuk dibawa ketika membuat liputan. Ini disebabkan peralatan kamera mudah berisiko terjatuh ke dalam air. Selain itu jurufoto perlu mengutamakan keselamatan diri ketika menjalankan tugas di tempat kejadian.

Penulis meredah banjir untuk mendapatkan rakaman dengan lebih dekat.

Sebuah jentolak membantu beberapa penduduk kampung yang balik dari kerja untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Gemuroh

Penduduk kampung Bukit Gemuroh menikmati minuman petang dalam suasana banjir di sebuah kedai yang masih beroperasi di sini hari ini.
Air sungai Tersat melimpah akibat hujan lebat sejak awal pagi.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Setiu membantu memindahkan beberapa mangsa banjir ke kawasan lebih selamat di Kampung Balik Bukit, Setiu.

Seorang warga emas, Samiah Ali, 81, dan anaknya Rahayu Endut, 41 (kanan), yang merupakan orang kelainan upaya down sindrom duduk termenung di tangga rumah melihat keadaan air banjir yang masih bertakung selepas pulang dari pusat perpindahan di Kampung Pengkalan Ajal Kuala Berang.

Rakaman siluet seorrang lelaki melihat hakisan tanah di Pantai Mengabang Telipot di baru-baru ini.
Jabatan Meteorologi mengeluarkan Amaran Jingga ketika itu di negeri Pantai Timur apabila laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter dengan kelajuan angin 40-50 kmj.


Rakaman seorang penduduk kampung membantu tiga orang kanak-kanak yang pulang dari sekolah menaiki sampan ketika kejadian banjir berlaku

Written by lensarencam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *