TERBITAN MINGGUAN MALAYSIA 30 JULAI 2017

CABARAN FOTOGRAFI SUKAN

Oleh : Abd Rahman Saleh

Dunia fotografi sukan bukanlah suatu yang mudah. Ianya begitu kompleks di mana seseorang jurufoto perlu sentiasa peka dan bersedia dengan peralatan kamera yang sesuai ketika membuat liputan sukan.

Ia tidak sama dengan bidang jurufoto lain kerana seseorang jurufoto sukan perlu memahami dan mengambil tahu selok belok sukan yang dirakamkan selain mempunyai hubungan baik dengan atlet yang dirakamkan supaya hasilnya dapat memikat khalayak yang melihatnya.

Cabaran lain pula, ramai jurufoto yang ingin melibatkan diri dalam bidang ini sentiasa bertanya apakah cabang fotografi ini boleh memberikan imbuhan yang baik sebagai sumber pendapatan di masa akan datang.

Baru-baru ini Nikon Malaysia telah menganjurkan program Sembang Santai Fotografi Sukan di Pusat Nikon Kuala Lumpur di Bukit Bintang yang telah mendapat sambutan daripada jurufoto professional dan amatur.

Beberapa orang jurufoto professional tanah air telah dijemput sebagai panel bual bicara seperti Khalid Redza (bekas jurufoto sukan Utusan Malaysia dan NSTP), Zid Omar (Ketua Jurufoto Bernama), Manan Vatsyayana (Ketua Jurufoto AFP Malaysia) dan Abd Rahman Saleh (Ketua Jurufoto 2 Utusan Malaysia).

Program tersebut dikendalikan oleh Pengurus Kanan Nikon Professional Services (NPS), Mahfooz NR yang dibantu oleh penolongnya, Lim Phian Leong membincangkan pelbagai perkara termasuk etika membuat liputan sukan serta arah tuju yang boleh diikuti oleh seseorang jurufoto untuk terus maju dalam bidang fotografi sukan.

Disamping itu, Nikon turut mempamerkan hasil karya jurufoto tempatan seperti Shahjehan Maamin (Utusan Malaysia), Shahrizan Jeffri Aziz (Bernama) dan Manan Vatsyayana (AFP) yang telah membuat liputan temasya Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil serta memberi penghargaan kepada mereka.

Pelbagai karya dipamerkan di ruang masuk pusat servis tersebut dan boleh dikunjungi peminat fotografi sukan dari 1 Julai hingga 31 Ogos ini. Pameran gambar-gambar Sukan Olimpik Rio itu juga diadakan sebagai memeriahkan sambutan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

 

Para peserta bergambar bersama panel Sembang Santai Fotografi Sukan selepas berakhir program tersebut.

Mahfooz NR (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada jurufoto Utusan Malaysia, Shahjehan Maamin.

Khalid Redza (dua dari kiri) memberikan pendapat pada forum tersebut.

Sebahagian peserta melihat pameran Sukan Olimpik Rio 2016.

Sebahagian daipada hasil karya jurufoto sukan tempatan yang membuat liputan di temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

Written by lensarencam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *